Wednesday, October 15, 2008
Kerana Karina 3 Kemuncak Segalanya!
by Miss Ayu
15 Oktober 2008
Drama bersiri online pertama di Malaysia, ‘Kerana Karina’ kini kembali dengan musim ketiga. Pasti ramai yang ingin tahu apa yang terjadi kepada Karina setelah dia kehilangan tunang tercinta, Imran, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya bukan?Semalam bertempat di Breeze Cafe, TTDI Plaza, satu majlis pelancaran drama online ini telah diadakan bagi memberi peluang kepada pihak media menemubual barisan pelakon yang terlibat dalam drama online popular ini.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Perisian, Jenama dan Pemasaran Alt Media Sdn Bhd, M. Zulkifli Abd Jalil, musim ketiga ‘Kerana Karina’ menyaksikan bagaimana Karina bergelut untuk meneruskan hidup setelah melalui banyak peristiwa pahit dan manis sebelum ini, terutamanya setelah kematian Imran.
“Dalam musim ketiga ini, Karina terus meratapi kehilangan Imran dan dia juga mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada dunia seni yang penuh glamor. Bagaimanapun, kehadiran seorang sahabat lama berjaya menyuntik sinar baru dalam kehidupan Karina.“Ini merupakan drama online kelima dan terakhir GUA untuk tahun ini. Kami harap peminat-peminat yang sudah lama mengikuti siri ini tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan musim terakhirnya kerana jalan ceritanya lebih mantap. Malah, peminat juga akan dapat menyaksikan watak-watak kegemaran mereka berkembang lebih jauh dan akhirnya mampu menyelesaikan konflik-konflik yang mereka hadapi.
“Selain itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KAO Laurier yang masih sudi menaja drama ini. GUA berasa sangat berbangga dengan kerjasama ini dan mengharapkan pembabitan KAO dalam ‘Kerana Karina’ untuk dua musim akan mencetuskan satu perkembangan yang sihat untuk jenama lain menyokong usaha-usaha seperti ini, “ ujar M. Zulkifli.
Siri ini masih lagi diterajui oleh pengarah Aidilfitri Mohamed Yunos dan mengekalkan Marsha Londoh, Sazzy Falak, Chelsia Ng, Bell Ngasri, Norman Hakim, Tunku Tiara dan Roslan Aziz. Malah, pelakon kacak Alan Yun yang pernah menjadi sebahagian daripada ‘Kerana Karina’ kembali memainkan peranan lamanya sebagai kekasih Sherina.
Musim ketiga ini juga memperkenalkan seorang bakat baru yang telah dicungkil bakatnya melalui pertandingan ‘Mencari Kawan Karina Laurier’ yang telah bermula selepas tamatnya ‘Kerana Karina 2’ tidak lama dahulu. Mahasiswi UiTM Shah Alam, Wan Nurul Aini binti Wan Shuib telah berjaya mencuri perhatian juri dan diberi peluang untuk berlakon di dalam penerbitan ini.
Drama 20 episod ini akan muncul secara eksklusif di gua.com.my bermula 20 Oktober ini dan episod baru akan ke udara setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Selain boleh ditonton di laman web, ‘Kerana Karina 3’ juga boleh dimuat turun ke telefon bimbit 3G melalui GUA Mobile. Hanya buat panggilan video dengan mendail *32223 dan anda boleh menyaksikan drama ini pada bila-bila masa dan di mana jua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment